Mustaffa Kamil Bentang Falsafah Malaysia Madani di Persidangan Antarabangsa Thailand

Bangkok: Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mustaffa Kamil Ayub, telah menyampaikan ucaptama bertajuk Falsafah Malaysia Madani dan Pengalaman Kehidupan Aman pada Persidangan Antarabangsa anjuran Kolej Islam Antarabangsa, Universiti KRIKH, Thailand, pada 11 September lalu.

Persidangan tersebut menghimpunkan kira-kira 100 peserta dari pelbagai negara termasuk China, Nigeria, Mesir, India, Iran, Jepun, Malaysia, Laos, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Dalam ucapannya, Mustaffa berkongsi latar belakang masyarakat majmuk Malaysia serta pendekatan yang diambil dalam menguruskan kepelbagaian kaum dan agama. Beliau menegaskan bahawa agenda terkini negara melalui gagasan Malaysia Madani kini semakin diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut beliau, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berteraskan kebijaksanaan dan keikhlasan, semakin mendapat sokongan dan menunjukkan keberkesanan. Malah, dalam sesi perbincangan meja bulat, para peserta rentas agama menyatakan sokongan terhadap konsep Malaysia Madani.

Sementara itu, Mustaffa memaklumkan bahawa dalam kalangan penjawat awam, tahap penghayatan terhadap Malaysia Madani semakin kukuh, sebagaimana disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ketika Majlis Aspirasi Kepimpinan pada 10 September 2024.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu pasukan khas telah dibentuk bagi membangunkan Indeks Pencapaian Malaysia Madani, di samping memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan golongan muda.

Dalam rangka lawatan kerja sehari ke Thailand itu, Mustaffa turut mengadakan perbincangan sampingan dengan Naib Presiden Universiti KRIKH merangkap Dekan Kolej Islam Antarabangsa KRIKH, Profesor Dr Jaran Maluleen, bagi menjalin Memorandum Persefahaman (MoU) antara UiTM dan universiti berkenaan. Selain itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Dr Luo Yong, penasihat kepada Pengerusi KRIKH, bagi membincangkan penubuhan Institut China-ASEAN yang berpangkalan di Bangkok.

Mustaffa, yang juga Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), telah diiringi oleh Pengerusi Konsortium Usahawan Madani (KUSMA), Dato’ Nabil Abdul Kadir, sepanjang lawatan tersebut.