INSKEN Rai 161 Graduan Usahawan Sabah, Rekod Pertumbuhan Keusahawanan Tertinggi 2025

Kota Kinabalu, 15 Nov 2025 — Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila meraikan kejayaan 161 usahawan Sabah yang menamatkan program bimbingan intensif INSKEN dalam Majlis Graduasi Program Keusahawanan INSKEN Sabah 2025 yang berlangsung di The Pacific Sutera Hotel, malam ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, berkata kejayaan para graduan berkenaan mencerminkan peningkatan impak program INSKEN di Sabah dan di peringkat nasional sepanjang tahun 2025.

Menurut beliau, sebanyak 40 program INSKEN telah dilaksanakan di Sabah tahun ini, melibatkan kira-kira 4,000 usahawan, sekali gus menunjukkan permintaan tinggi terhadap latihan keusahawanan yang tersusun di negeri itu. Di peringkat nasional pula, lebih 20,000 usahawan telah dibangunkan pada 2025, meningkat ketara berbanding 13,000 usahawan pada tahun 2024.

“Angka ini membuktikan keyakinan para usahawan terhadap program INSKEN. Latihan yang ditawarkan bukan sahaja memperkukuh asas perniagaan, malah menerapkan nilai-nilai MADANI yang penting untuk keusahawanan mampan dan beretika,” katanya.

Kumpulan graduan tersebut telah mengikuti pelbagai program INSKEN, antaranya INSKEN Mini Coaching – Product Development Coaching (PDC) serta empat kohort Program Bimbingan Perniagaan Bumiputera INSKEN (IBBC).

Datuk Mustaffa berkata modul yang dibangunkan terbukti berkesan dalam melahirkan usahawan yang berupaya merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti, seperti yang ditunjukkan dalam laporan prestasi kukuh yang dibentangkan oleh jurulatih INSKEN, Viviantie Sarjuni.

Para peserta datang dari pelbagai daerah termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Kunak, Beaufort, Papar, Tuaran, Tambunan, Ranau dan Labuan, sekali gus mencerminkan liputan meluas program hasil kerjasama dengan agensi tempatan dan penglibatan awam.

Beliau turut memuji ketabahan usahawan dari kawasan pedalaman yang sanggup menempuh perjalanan berjam-jam menaiki kereta, bas atau penerbangan bagi menghadiri sesi latihan, sambil menyifatkan semangat tersebut sebagai lambang kekuatan jiwa keusahawanan rakyat Sabah.

Datuk Mustaffa turut memaklumkan bahawa tahun 2025 menandakan fasa baharu buat INSKEN dengan penerokaan inisiatif GO ASEAN dan GO GLOBAL bagi membantu usahawan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Selain itu, INSKEN juga memperkukuh penerapan nilai keusahawanan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta memperkasa rangka kerja Keusahawanan Sosial (SE) bagi mewujudkan impak yang lebih inklusif dan mampan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, para jurulatih industri, tenaga pengajar, warga kerja INSKEN, serta keluarga dan rakan strategik yang menyokong kejayaan program berkenaan.

“Saya berharap semua graduan terus mengembangkan perniagaan masing-masing dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menceburi bidang keusahawanan. Tahniah atas pencapaian cemerlang ini,” katanya.

Dalam majlis sama, Datuk Mustaffa turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu INSKEN pada 2025 bagi memperkukuh sokongan jangka panjang kepada usahawan. Antaranya penubuhan Alumni INSKEN dan pembangunan pangkalan data menyeluruh graduan bagi menjejaki perkembangan, menyediakan sokongan susulan dan mengukuhkan jaringan kerjasama.

Beliau juga memaklumkan pelancaran inisiatif PRIME (Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI) di setiap negeri dan daerah, yang berfungsi sebagai hab rujukan inklusif untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui sesi libat urus bulanan bersama usahawan, mentor, agensi dan pemain industri, dengan kerjasama NADI, PUNB dan CGC.

Menurutnya, PRIME memastikan sokongan kepada usahawan tidak terhenti selepas tamat program, sebaliknya diteruskan melalui rangkaian, bimbingan dan perkongsian sumber secara berterusan.