Kuala Lumpur— Projek Biskut CeriteRaya membuktikan bagaimana kolaborasi antara universiti, industri dan agensi pembangunan mampu memberi pengalaman pembelajaran keusahawanan yang praktikal dan bermakna kepada mahasiswa. Projek ini membawa pelajar daripada fasa idea produk sehingga ke proses pemasaran dan jualan sebenar.
Inisiatif berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, yang menegaskan bahawa program ini mencerminkan peranan INSKEN sebagai pemudah cara dalam membina ekosistem keusahawanan yang menyeluruh dan inklusif.
Projek Biskut CeriteRaya mensasarkan jualan lebih 5,000 bekas kuih raya, memberikan peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam operasi perniagaan sebenar, dari pengurusan stok, pemasaran digital, hingga interaksi dengan pelanggan.
Inisiatif ini dilaksanakan oleh MASMED dengan sokongan strategik daripada INSKEN, DMG Food Industries dan Yayasan Bank Rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan manusia holistik, kreativiti dan kemakmuran melalui keusahawanan.
Program ini juga menjadi platform bagi mahasiswa mempraktikkan kemahiran keusahawanan, membina jaringan industri dan memahami cabaran serta peluang dalam dunia perniagaan sebenar, sekaligus menyediakan mereka untuk menjadi usahawan berdaya saing pada masa depan.







