Malam Mahabbah Dunia Melayu Dunia Islam 2025 Angkat Warisan Berteraskan Cinta dan Peradaban

 

Melaka Nov 7, 2025— Program Malam Mahabbah Dunia Melayu Dunia Islam 2025 yang menampilkan Pembacaan Syair Sinar Gemala Mustika Alam (Maulid Melayu) hasil karya Almarhum Raja Ali Haji Ibni Raja Ahmad Ibni Raja Haji Fisabilillah berlangsung dengan penuh penghayatan dan keindahan di Auditorium Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ayer Keroh, malam Jumaat.

Program yang diadakan sempena Festival Warisan Etnik Nusantara dan Seminar Peradaban Dunia Melayu Dunia Islam 2025 itu bermula jam 7.30 malam hingga 11.00 malam, menghimpunkan tokoh-tokoh agama, pemimpin masyarakat, cendekiawan serta pencinta warisan budaya Melayu-Islam.

Majlis berprestij itu telah diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, yang turut mencemar duli memeriahkan acara.

Turut hadir ialah Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memartabatkan warisan intelektual dan rohani Dunia Melayu Dunia Islam berasaskan nilai mahabbah, ilmu dan peradaban.

Program ini turut diserikan dengan tausiyah oleh Sohibus Samahah YBhg. Prof. Adjung Datuk Wira Haji Abd Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama para ulama tempatan yang menyampaikan pengisian kerohanian berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan nilai kemanusiaan sejagat.

Bertemakan “Warisan Berpaksikan Mahabbah”, majlis ini dianjurkan oleh Biro Penyelidikan dan Tugas Khas, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka; Kolej Antarabangsa DMDI @ University of Geomatika Malaysia; Akademi Perantara; serta Majlis Ar-Rasyafat.

Penganjuran program ini dilihat sebagai platform penting dalam menghidupkan kembali khazanah sastera dan spiritual Melayu-Islam, di samping mengukuhkan hubungan peradaban dan jalinan mahabbah merentas generasi serta wilayah Nusantara.