Shah Alam, September 27, 2025— Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat satu detik bersejarah dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila Majlis Alumni UiTM (MAUiTM) bersidang buat pertama kalinya, sekali gus menjadi platform rasmi yang menghubungkan jutaan alumni ITM/UiTM dengan alma mater, pengurusan universiti serta Lembaga Pengarah UiTM.
Majlis tersebut merupakan satu-satunya badan rasmi seumpamanya yang berperanan sebagai pelantar strategik penyelarasan suara dan sumbangan alumni UiTM di peringkat nasional.
MAUiTM dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Yang Berbahagia Datuk Haji Mustaffa Kamil Ayub, dengan keanggotaan terdiri daripada barisan Pengurusan Utama UiTM serta wakil-wakil Persekutuan Alumni UiTM.
UiTM ketika ini mempunyai 40 Persatuan Alumni yang diiktiraf, selain sebuah Persekutuan Alumni yang menaungi keseluruhan persatuan tersebut. Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah UiTM memperuntukkan penubuhan Persatuan Alumni berasaskan kampus, fakulti dan kelab, bagi memperkukuh jaringan serta penglibatan alumni secara lebih tersusun.
Dalam persidangan bersejarah itu, para ahli turut membincangkan halatuju bersama, termasuk penyelarasan dan pengukuhan jaringan yayasan serta koperasi yang melibatkan alumni UiTM. Usaha ini bertujuan menggembleng sumber dana bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan kewangan, di samping menyokong keperluan pengurusan universiti.
Majlis turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penubuhan MAUiTM, khususnya Timbalan Naib Canselor ICAN yang berjaya menyempurnakan usaha penubuhan majlis berkenaan sebelum bersara pada hujung bulan ini.
Penubuhan Majlis Alumni UiTM ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan berterusan antara universiti dan alumninya, serta memaksimumkan peranan alumni sebagai rakan pembangunan UiTM dan negara.







