KUCHING, 20 Ogos, 2025: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) kini berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran pembangunan 20,000 usahawan menjelang akhir tahun ini, selepas berjaya membimbing lebih 14,000 usahawan setakat ini.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub, berkata pencapaian itu mencerminkan kesungguhan kerajaan memperkasa ekosistem keusahawanan negara menerusi pelbagai program latihan, bimbingan dan pendigitalan perniagaan.
“Jika dibandingkan dengan tahun lalu, kita berjaya melepasi sasaran awal 10,000 usahawan dan mencapai lebih 13,000. Tahun ini kita yakin dapat menepati sasaran 20,000 menjelang hujung tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Usahawan MADANI e-Invois di sini, hari ini.
Beliau berkata, komitmen kerajaan turut diperkukuh melalui pelaksanaan sistem e-Invois yang selaras dengan perkembangan ekonomi digital serta agenda pendigitalan nasional.
“Kami sedar masih ada usahawan yang bimbang kerana menganggap sistem ini rumit dan memerlukan pekerja tambahan. Namun melalui seminar hari ini, INSKEN berusaha menunjukkan bahawa prosesnya mudah, daripada pendaftaran Nombor Pengenalan Cukai sehinggalah penggunaan portal MyInvois,” jelasnya.
Mustaffa menegaskan kesedaran dan ilmu adalah kunci untuk membantu usahawan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi serta teknologi.
“Kita harus yakin produk tempatan, seperti Laksa Sarawak, juga boleh menembusi pasaran antarabangsa sebagaimana produk Korea Selatan yang kini terkenal di seluruh dunia. Tiada yang mustahil dengan strategi dan semangat betul,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa INSKEN sedang meneroka inisiatif baharu termasuk program Global Fellowship bagi memastikan kesinambungan pembangunan usahawan selepas tamat latihan atau seminar.
Seminar berkenaan mencatat kehadiran seramai 362 peserta, melebihi sasaran awal 300 orang, sekali gus membuktikan sambutan yang amat menggalakkan.







