INSKEN Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Sarawak Menerusi Seminar Pembangunan Produk dan Perkhidmatan

Kuching 12 June 2025— Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mengesahkan komitmennya dalam memperkasa ekosistem keusahawanan Sarawak menerusi penganjuran Seminar Asas Pembangunan Produk dan Perkhidmatan (SAPPS) yang berlangsung di Auditorium MBKS, hari ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub, memuji sambutan dan semangat tinggi seramai 449 usahawan tempatan yang hadir, yang disifatkan sebagai cerminan kesungguhan untuk terus berkembang dalam dunia perniagaan.

Menurut beliau, seminar yang dianjurkan buat kali kedua di Sarawak itu merupakan hasil kerjasama strategik antara INSKEN, HRD Corp, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berkaitan keusahawanan.

Edisi kali ini turut menampilkan nilai tambah menerusi sesi khas penilaian produk dan perkhidmatan melibatkan 30 usahawan terpilih, yang menerima maklum balas secara langsung daripada pemain industri dan jurulatih bagi meningkatkan tahap kesediaan produk untuk pasaran.

Selain itu, seminar berkenaan menyediakan e-BizClinic, iaitu ruang konsultasi yang menawarkan khidmat nasihat percuma daripada kaunselor perniagaan bertauliah INSKEN. Gerai maklumat turut disediakan bagi membimbing peserta mengenai program latihan dan bimbingan susulan yang ditawarkan selepas seminar.

“Keberadaan INSKEN di Kuching bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan usaha serius dan berterusan kami untuk memastikan usahawan Sarawak mendapat akses yang adil kepada program sokongan berimpak tinggi,” kata Mustaffa.

Beliau turut memaklumkan bahawa INSKEN telah mencatatkan hasil yang memberangsangkan di Sarawak. Pada tahun 2024, seramai 119 daripada 1,046 usahawan negeri ini yang menyertai program INSKEN telah dibimbing menerusi Program Bimbingan Perniagaan Bumiputera INSKEN (IBBC).

Hasilnya, sebanyak 93 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan, 10 usahawan meningkat daripada status mikro kepada perusahaan kecil, serta peningkatan jualan mencecah RM1.9 juta.

“Pencapaian ini membuktikan kepentingan pembelajaran berterusan dan latihan keusahawanan. Ilmu bukan sekadar teori, tetapi memberi impak sebenar apabila diaplikasikan dengan betul.

“Jangan sekadar menyimpan ilmu yang diperoleh hari ini, sebaliknya gunakannya sebagai strategi untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kredit — https://www.sarawaktribune.com ( Sharifah Jong Nasima)

Photo: Mohd Alif Noni