Tengku Zafrul berhak sertai mana-mana parti

SHAH ALAM 16 Mac 2025- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhak menyertai mana-mana parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya itu menjadi pilihannya pada masa depan.

Bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata, hak berpolitik adalah hak individu dan Tengku Zafrul bebas memilih parti yang selari dengan pemikirannya tanpa sebarang paksaan.

“Setiap individu berhak menyertai mana-mana parti yang dirasakan sesuai dan relevan dengan perjuangannya tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, soal penerimaan pemimpin serta ahli UMNO dan PKR terhadap penyertaan Tengku Zafrul itu bergantung kepada pertimbangan mereka sendiri,” katanya kepada Sinar Ahad.

Bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Tengku Zafrul menyertai PKR serta impaknya terhadap hubungan antara PKR dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR juga berkemungkinan boleh menjejaskan hubungan baik antara PKR dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Soal kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kabinet pula tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, lebih-lebih lagi tempoh pelantikannya sebagai Senator Dewan Negara akan tamat dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Tengku Zafrul telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan UMNO kepadanya minggu lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menasihati Tengku Zafrul supaya tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa.

Kredit – https://www.sinarharian.com.my/article/717910/berita/politik/tengku-zafrul-berhak-sertai-mana-mana-parti