Kota Samarahan, 11 Januari 2026 — Program Sarawak Entrepreneur Outreach (SEO) akan diperluaskan ke seluruh Sarawak sebagai usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan MADANI di negeri itu, kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program SEO yang berlangsung di Pohonmas Cafe and Restaurant, di sini, hari ini, yang berjaya menghimpunkan kira-kira 100 usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Program berkenaan merupakan penganjuran sulung SEO di daerah Kota Samarahan.
Menurut Datuk Mustaffa, program tersebut menjadi platform penting bagi membincangkan peluang pembangunan perniagaan, selain mengukuhkan jaringan kerjasama antara usahawan tempatan dan agensi berkaitan.
“SEO bukan sekadar program libat urus, sebaliknya wadah strategik untuk mendekatkan usahawan dengan inisiatif kerajaan MADANI serta memastikan sokongan yang disediakan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi,” katanya.
Antara objektif utama penganjuran SEO adalah meningkatkan kefahaman usahawan terhadap pelbagai inisiatif dan bantuan yang ditawarkan oleh Kerajaan MADANI, di samping menyediakan ruang dialog secara langsung antara pemain industri, agensi pelaksana dan usahawan tempatan.
Program ini dianjurkan oleh Dewan Ikatan Perniagaan Samarahan (DIPS) dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta A-Plus Accounting.
Datuk Mustaffa menegaskan bahawa peluasan pelaksanaan SEO ke seluruh Sarawak akan membolehkan lebih ramai usahawan mendapat akses kepada maklumat, bimbingan dan jaringan sokongan yang diperlukan bagi memperkukuh daya saing serta kelestarian perniagaan mereka.







