Kuala Lumpur, 26 Jun 2025 — Hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China terus diperkukuh menerusi penganjuran Malaysia–China Trade Cooperation Exchange Conference yang berlangsung di sini hari ini.
Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub, dalam ucapannya berkata hubungan erat kedua-dua negara kini memasuki fasa baharu yang lebih dinamik, selari dengan kenyataan Presiden China, Xi Jinping, bahawa hubungan Malaysia–China telah memasuki “era keemasan baharu”.
Beliau berkata, lawatan rasmi Presiden Xi ke Malaysia pada 25 April 2025 dan pertemuannya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN, telah menyaksikan pertukaran 31 perjanjian perdagangan dan Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai bidang strategik.
“Kerjasama ini meliputi penyelarasan piawaian bagi memudahkan akses pasaran, teknologi rel, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, navigasi satelit, produk halal, pendidikan dan penyelidikan, pelancongan, pengaturan bebas visa serta perdagangan produk pertanian,” katanya.
Menurut Mustaffa, kerjasama dua hala tersebut amat signifikan dalam era globalisasi yang turut dicabar oleh ketidaktentuan global, termasuk fenomena post-normal times (PNT) dan persekitaran VUCAH (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity and Hyper connectivity) yang dicirikan oleh ketidaktentuan, kompleksiti dan keterhubungan tinggi.

Beliau menegaskan bahawa dalam mendepani cabaran ini, usahawan Madani perlu menghayati pendekatan ekonomi berteraskan kemanusiaan yang menitikberatkan pembangunan insan secara holistik, kelestarian alam sekitar, keadilan sosial serta keseimbangan antara keuntungan, produktiviti dan kebahagiaan.
“Keusahawanan Madani menuntut penghayatan enam teras Malaysia Madani iaitu kelestarian, kemakmuran, kreativiti, hormat, keyakinan dan ihsan dalam amalan perniagaan,” katanya.
Mustaffa turut menyentuh ketidakseimbangan ekonomi global apabila sebilangan kecil individu menguasai kekayaan dunia, sementara sebahagian besar penduduk global berdepan isu kemiskinan, kebuluran dan kekurangan akses kepada keperluan asas.
Dalam pada itu, beliau berkata Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara dengan masyarakat keusahawanan yang mampan dan progresif. Ekosistem keusahawanan negara yang melibatkan kira-kira 66 agensi memerlukan penyelarasan dan perkongsian maklumat yang lebih berkesan bagi memperkukuh impak pelaksanaan.
Beliau memaklumkan bahawa sejak 2015 hingga 2024, seramai 125,391 usahawan telah mengikuti latihan dan bimbingan anjuran INSKEN, selaras dengan mandat institut tersebut dalam pembangunan kapasiti usahawan.
Mengulas potensi kerjasama masa hadapan, Mustaffa mencadangkan pengukuhan kolaborasi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, pusat data raya, jentera canggih, kenderaan elektrik dan autonomi, pembangunan budaya dan pelancongan serta peningkatan perdagangan dua hala.
Beliau turut mengemukakan cadangan pembentukan rangkaian perniagaan ASEAN, penubuhan Komuniti Perniagaan Madani ASEAN–China berfokuskan produk halal, serta penganjuran Forum Keusahawanan Madani Global secara tahunan.
Mengakhiri ucapannya, Mustaffa menyeru para usahawan agar terus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam memperkasa perjalanan keusahawanan masing-masing, selaras dengan semangat pembangunan Madani dan aspirasi negara.







