Petaling Jaya, 14 Oktober 2023 — Pertemuan Silaturrahim Generasi 1950-an, 1960-an dan 1970-an Kampung Gajah, Perak, yang menghimpunkan anak perantauan di Lembah Klang, berlangsung dengan penuh kemesraan dan nostalgia dalam majlis minum petang (high tea) di Hotel TH Kelana Jaya, hari ini.
Majlis anjuran Dato’ Abu Hasan bersama barisan jawatankuasanya itu berjaya menarik penyertaan yang menggalakkan daripada pelbagai generasi, sekali gus menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan komuniti Kampung Gajah.
Dalam ucapannya, wakil-wakil generasi yang hadir turut mengimbau kembali kenangan silam kehidupan di Kampung Gajah, termasuk pengalaman menaiki gerabak kereta api lama, penggunaan feri Sungai Kenta, suasana Pekan Ujung Tembok serta pelbagai kisah bersejarah lain yang membentuk identiti komuniti setempat.
Mustaffa Kamil Ayub, mewakili generasi 1960-an Kampung Gajah, menyarankan agar sebuah Muzium Warisan Kampung Gajah diwujudkan bagi memelihara dan mendokumentasikan sejarah tempatan untuk tatapan generasi akan datang. Antara cadangan pameran termasuk gambar-gambar lama Ujung Tembok, deretan kedai di tepi sungai, bot tradisional seperti Bot 8 dan Sapu Ranto, lawatan Perdana Menteri Tun Abdul Razak semasa peristiwa banjir besar 1971, era darurat serta detik-detik pilihan raya umum.
Cadangan tersebut disambut baik oleh para hadirin yang melihat inisiatif berkenaan sebagai langkah penting dalam memelihara warisan sejarah dan jati diri Kampung Gajah.
Majlis diakhiri dengan doa agar usaha murni ini diberkati dan dapat diteruskan secara berkala demi mengukuhkan silaturrahim serta memelihara warisan komuniti Kampung Gajah.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Rusiah Abdul Samad serta ahli keluarga.







