INSKEN Raikan Graduasi Usahawan & Anugerah Usahawan Madani 2025

Kuala Lumpur, Dec 6 2025 — Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menutup tirai tahun 2025 dengan penuh gemilang melalui dua acara utama, iaitu Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2025 dan Anugerah Usahawan Madani INSKEN 2025, bagi menghargai usaha, komitmen dan transformasi para usahawan dalam memajukan perniagaan mereka.

Majlis dimulakan dengan pembentangan prestasi oleh Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Puan Viviantie Sarjuni, yang menekankan perkembangan serta impak program sepanjang tahun 2025. Majlis kemudian dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, YBhg Datuk Mustaffa Kamil Ayub.

Turut hadir pada majlis berprestij ini ialah Yang Berusaha Tuan Haji Rahman bin Mohd Din, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP; Yang Berbahagia Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP; ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN serta pengurusan tertinggi institut.

Tahun 2025 mencatatkan pencapaian memberangsangkan bagi INSKEN, termasuk:

  • 1,309 usahawan mengikuti Program Bimbingan INSKEN
  • RM22.4 juta peningkatan hasil jualan berjaya dijana
  • 710 peluang pekerjaan baharu diwujudkan
  • 57% usahawan mencapai peningkatan jualan minimum 25%
  • 59 usahawan berjaya meningkat daripada kategori mikro ke kecil
  • 100% peserta Mini Coaching mencapai sasaran keseluruhan program

Majlis ini menjadi simbol penghargaan terhadap ketekunan, disiplin dan komitmen para usahawan dalam membina perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing dan memberi manfaat kepada komuniti.

Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, mengucapkan tahniah kepada semua alumni dan penerima Anugerah Usahawan Madani 2025, sambil menegaskan bahawa kejayaan mereka menjadi pemangkin kepada perkembangan keusahawanan yang lebih besar pada masa hadapan.